Thursday, December 25, 2008

Komen Deputy President FAM : Pasukan Kebangsaan Bolasepak Malaysia

November 14, 2008 Pasukan Kebangsaan Bolasepak Malaysia http://www.rembau.net.my/ Sebagai peminat bolasepak tanah air, saya cukup bangga melihat kedudukan terbaru pasukan kebangsaan Malaysia dalam 'ranking' sedunia Coca-Cola FIFA naik sembilan anak tangga ke tempat 151. Sewaktu saya dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kedudukan dunia pasukan kebangsaan di tangga 172. Menyedari hakikat ini, saya selaku orang yang dipertanggungjawab oleh KDYMM Tuanku Presiden FAM untuk menjaga pasukan kebangsaan menjadikan isu 'ranking' ini sebagai salah satu penunjuk aras pencapaian atau KPI utama dalam menilai status perkembangan bolasepak tanah air. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa 'ranking' terkini pasukan kebangsaan menandakan sedikit sebanyak kemajuan kita, walaupun perjalanan FAM kearah kecemerlangan masih jauh lagi. Saya percaya perkembangan positif ini bersangkut-paut dengan strategi yang digunapakai di mana wujud suatu pengkhususan kepada mutu sesi latihan pemain kebangsaan. Contohnya, klinik latihan bersama idola Liverpool FC, Ian Rush, dan sesi taktikal yang dikendalikan jurulatih pasukan negara B.Sathianathan telah menyumbang kepada kemampuan teknikal serta keyakinan diri para pemain – ini terserlah sewaktu perlawanan persahabatan menentang Chelsea FC pada 29 Julai lepas. Walaupun tewas, namun saya pasti pemerhati bolasepak tanahair akan mengakui kemajuan tahap persembahan pasukan kita berbanding dua atau tiga tahun dahulu. Yang paling terserlah, para pemain telah mengekalkan tahap disiplin tinggi sepanjang perlawanan – mengikut taktik dan strategi sepertimana yang diarahkan oleh jurulatih. Antara indikasi perkembangan positif yang lain dapat dilihat sewaktu Piala Antara Benua 2008 yang dilangsungkan pada bulan Mei di mana Malaysia sebagai tuan rumah meraih kemenangan 1-0 ke atas juara Piala Asia AFC 2007, Iraq dan keputusan seri 1-1 dengan Nigeria yang kemudiannya mara ke perlawanan akhir di Olimpik 2008 Beijing. Ternyata usaha gigih jurulatih B. Sathianathan dan Datuk Soh Chin Aun ("Tauke") selaku Pengurus Pasukan sudah mula membuahkan hasil. Datuk Soh yang akan sentiasa menjadi idola dan ikon bola sepak nasional jelas berjaya menyuntik semangat dan inspirasi kepada pemain kita. Meskipun begitu, pihak FAM sedar bahawa perjalanan masih jauh untuk mencapai impian kita melihat pasukan bola sepak nasional disegani semula di rantau Asia, mahupun dunia. 'Ranking' dunia pasukan kita, walaupun meningkat, masih lagi di bawah negara-negara seperti Fiji dan India yang tidak pun mempunyai 'budaya bola' sepertimana di Malaysia. Secara keseluruhannya, saya melihat kecergasan dan stamina pemain-pemain kebangsaan kian meningkat, tetapi keupayaan dari segi taktikal masih kurang memuaskan. Misalnya, pasukan kita masih lemah dalam skil menjaringkan gol dari 'set piece' seperti sepakan percuma atau penjuru. Saya yakin saudara B.Sathianathan memang memberi tumpuan kepada aspek ini, disamping mempertajam kebolehan para pemain penyerang menjaringkan gol. Pendekatan menghantar skuad pasukan Malaysia ke luar negara untuk menjalani sesi latihan dan siri perlawanan persahabatan juga wajar diteruskan kerana memberi peluang kepada para pemain menimba pengalaman unik. Contohnya, dalam lawatan ke Slovakia pada bulan Ramadhan lalu, skuad negara beraksi menentang pasukan-pasukan handal termasuklah FC Vion Zlaté Moravce - sebuah kelab yang mara ke pusingan kedua kelayakan Piala UEFA 2007-2008. Lawatan seperti ini juga merupakan peluang kepada ejen atau 'scout' bolasepak dari Eropah memerhati pemain kita; sewaktu di Slovakia pun ramai yang tertarik dengan pemain negara, terutamanya gandingan adik-beradik Zaquan Adha Radzak dan Mohd Aidil Zafuan Radzak. Malah, Zaquan dan Zafuan sudah dimaklumkan oleh ejen di Slovakia bahawa mereka akan diberi peluang beraksi dalam sebuah kelab Liga Divisyen Satu Slovakia tidak lama lagi. Peluang menimba pengalaman seperti ini melambangkan satu lagi langkah positif dalam usaha meningkatkan mutu para pemain negara. Bagi memastikan kesinambungan jangka panjang, saya menaruh harapan tinggi kepada eksperimen Harimau Muda di mana pasukan nasional bawah 20 tahun diserapkan ke dalam Liga Perdana Malaysia sebagai satu pasukan kelab. Di samping itu, para pemain senior juga tidak dilupakan. Ramai individu seperti Indra Putra Mahyuddin, Hardi Jaafar, Irwan Fadzli Idrus dan Khaironisam Shahbudin yang pada mulanya digugurkan selepas prestasi hambar sewaktu Piala Asia AFC tahun lepas sudah mula diserapkan kembali ke dalam pentas nasional. Dalam masa terdekat ini, persembahan pasukan negara di Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) bermula 6 Disember menjadi ukuran seterusnya – moga-moga kita dapat menonjolkan prestasi yang baik. Perkara inilah yang mendorong saya meluluskan penglibatan pasukan negara dalam Piala Cabaran Grand Royal Myanmar yang sedang berlangsung sekarang dengan harapan para pemain negara dapat 'memanaskan badan' sekaligus mencapai tahap prestasi optimum sebaik sebelum Piala Suzuki AFF. Kemajuan sejak akhir-akhir ini tidak harus terlalu digembirakan; tetapi wajar menjadi inspirasi kepada kemajuan jangka masa panjang. Semoga pendekatan komprehensif yang dijalankan selama ini akan membuahkan hasil buat prestasi bola sepak negara, sekaligus membanggakan seluruh warga negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment